Nostalgia Menasik Haji...
Hari ini 10 Zulhijjah.Hari raya korban di Malaysia. Tetapi, kalau kita mendengar berita di TV, jemaah haji sedang melontar di Mina. Kita menyambut hari raya sehari lewat daripada Mekah. Untuk melihat mengapa terdapat perbezaan masa antara wukuf dan raya di negara kita bolehlah membacanya disini. Haji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima.Firman Allah swt dalam surah Al Baqarah: ayat 196 yang bermaksud, “Dan sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah”. Dan juga dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud “Dan untuk Allah, wajib ke atas manusia mengerjakan Haji di Baitullah (Kaabah) bagi sesiapa yang mampu sampai ke sana. Barangsiapa yang engkar, maka Allah Maha Kaya (tidak memerlukan) dari semesta alam”.
Melihat jutaan manusia berwukuf di Arafah mengembalikan nostalgia ibadat haji saya enam tahun yang lalu. Pada tahun 2004, alhamdulillah, saya dapat menunaikan ibadat haji bersama suami, ibu dan bapa mertua saya. Alhamdulillah, ibadat haji dapat ditunaikan dengan sempurna dengan dibantu oleh keluarga Mak cik saya yang tinggal di Mekah. Ini adalah kerana bapa mertuaku tidak dapat berjalan dengan lama. Beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Peristiwa di Arafah mengingatkan kita bahawa kita semua adalah sama. Pada hari arafah, semua manusia tidak mengira darjat atau pangkat, memakai pakaian yang sama. Bagi lelaki, ihram putih dengan kepala yang kosong. Pada ketika itu, tiada lagi pangkat atau darjat. Yang memisahkan kita adalah takwa kepada Allah semata-mata. Bewukuf bermaksud berada di Arafah walau sedetik diantara masuk Zuhur 9 hb. hingga masuk subuh 10 hb. (Aidil Adha).Tumpuan dan matlamat kita pada ketika dimana Allah sangat hampir dengan hambanya ialah semata-mata kerana Allah. Orang keliling tidak dihiraukan lagi. Itulah waktu yang paling mustajab untuk berdoa. Mintalah apa sahaja yang kita kehendaki, nescaya akan dikabulkan. Berkali-kali kami diingatkan oleh Ustaz tentang waktu wukuf yang singkat. Segala buku doa yang dibawa dibaca. Tidak lupa pula saya mendoakan kepada anak-anak yang ditinggalkan dirumah. Kepada anakku Anas yang sedang menunggu keputusan SPM, Kak Ngah yang sedang menunggu keputusan PMR dan adik-adiknya Ammar, Aliya dan Arif. Antara doa yang selalu saya minta ialah:
“Ya Allah, Ya tuhanku...Hanya kepadamu Aku Sembah, Hanya kepadamu aku memohon pertolongan...kau permudahkan segala urusanku, urusan anak-anakku. Kau berilah kejayaan yang cemerlang kepada anakku Anas dan Hanan dalam peperiksaan mereka. Berikan kepada mereka kejayaan hidup didunia dan diakhirat. Kurniakanlah kepada anak-anakku, Anas, Hanan, Ammar, Aliya dan Arif akhlak yang mulia, akhlak orang-orang yang soleh. Berkatilah hidup mereka”.
Selepas wukuf, kami bergerak ke Mudzalifah. Bermalam di Mudzalifah bermaksud berada walau sedetik di antara tengah malam 9 hb. malam 10 hb. hingga masuk subuh 10 hb. Alhamdulillah, bas bergerak dengan lancar dan kami sempat mengutip anak-anak batu untuk melontar pada hari-hari Tasyrik. Kami sempat melakukan solat hari raya aidil adha di Masjidil Haram kerana kami membuat Tahalul awal. Tahalulu awal bermaksud kita telah selesai mengerjakan 2 dari 3 perkara iaitu melontar jamrah aqabah, bergunting haji dan tawaf serta saie haji. Semasa mengerjakan ibadat tawaf, dan sai, kelihatan ribuan manusia sangat tekun mengerjakan ibadat masing-masing. Tiada rasa kebimbingan dan kegusaran di hati mereka. Hanya segelintir pengawal keselamatan disediakan disana. Berbanding dengan acara-acara dunia ditempat lain, yang melihatkan ramainya pasukan pengawal keselamatan yang disediakan. Apakah implikasinya disini? Umat Islam Muslimin menyerahkan sepenuhnya pengharapan kepada Allah untuk memelihara keselamatan mereka. Mereka berserah secara total demi untuk mengabdikan diri pada Yang Maha Esa. Tiada rasa takut dan gerun pada sesiapa pun pada ketika itu. Itulah kebesaran Islam sebenarnya.
Pada hari raya tersebut, hanya kelihatan orang-orang Mekah sahaja kerana kebanyakan Hujaj masih di Mina.Seterusnya pada sebelah malam, barulah kami bertolak ke Mina. Melontar di Jamrah Aqabah mengingatkan kita tentang perjanjian Aqabah yang berlaku tidak jauh dari Mina. Mina adalah tempat kabilah Arab berkumpul semasa musim haji. Inilah tempat yang digunakan oleh Rasulullah untuk berdakwah. Mina menjadi tempat Baitul Aqabah pertama antara Rasullullah dengan 12 orang wakil umat Islam Madinah dengan melantik Mus’ab bin Umair sebagai ketuanya. Baitul Aqabah kedua juga dilakukan disini, antara Rasullah dengan 75 orang wakil umat Islam dari Madinah. Setelah Perjanjian Aqabah kedua inilah, berlakunya penghijrahan umat Islam dari Mekah ke Madinah. Pada ketika itulah bermulanya zaman kegemilangan Islam dengan tersebarnya Agama Islam keseluruh pelusuk dunia hingga ke hari ini.
Semoga umat Islam yang menjejaki kaki ke bumi Mina akan pulang dengan semangat untuk mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana janji umat terdahulu.
Inilah antara beberapa kebesaran dan kehebatan ibadat haji yang dilakukan jutaan umat Islam setiap tahun...Kepada semua umat Islam saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha...Kepada para Hujaj di Mekah...saya ucapkan semoga mendapat haji yang Mabrur.Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Haji yang Mabrur, tiada balasan baginya selain Syurga”.
Comments
Post a Comment