27 Tahun Bahtera Mawardah wa Rahmah
9 September 1985 merupakan tarikh yang tidak dapat dilupakan dalam hidup saya. Tarikh inilah saya diijab kabul dengan suami tercinta Othman bin A-Karim di sebuah tanah asing bernama Toledo Ohio. Benarlah firman Allah dalam surah Ar Rum ayat 21 yang bermaksud “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.
Perjalanan bahtera kami selama 27 tahun ini telah melahirkan tiga orang putra dan 2 orang puteri secara “berselang bunga”. Pada 25 September 1986, anak sulung lelaki yang dinamakan Anas dilahirkan. Nama ini dipilih sempena nama sahabat Rasulullah, Anas ibn Malik. Anas dilahirkan di Alor Setar, Kedah tiga bulan selepas kami balik dari Toledo. Pada ketika ini jugalah, ayahnya mendapat tawaran pekerjaan sebagai Tutor di UKM. Dua tahun kemudian, pada 1 April 1988, lahir pula seorang puteri yang dinamakan Hanan bermaksud kesayanganku. Hanan dilahirkan di negara asing bernama Liverpool, England ketika ayahandanya sedang membuat ijazah sarjana. Dua tahun kemudian, pada 6 November 1990, seorang putera lagi dilahirkan yang dinamakan Ammar Faiz sempena nama sahabat Rasullullah iaitu Ammar Ibn Yasir. Nama Ammar digabungkan dengan nama Faiz kerana pada ketika itu ayahnya berminat dengan nama Faiz yang bermaksud Berjaya. Ammar dilahirkan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan. Empat tahun berlalu, pada 25 September 1994, lahir pula seorang lagi puteri juga dibumi Liverpool, England dan puteri ini kami namakan Aliya Fatin. Aliya dilahirkan ketika ayahnya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Selama empat tahun anak-anak ini membesar dan bersekolah di St. Silas School, dibumi Liverpool.
Pada tahun 1996, kami kembali ke Malaysia meneruskan kehidupan di bumi tercinta. Kami menetap di Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi. Semua anak-anak bersekolah disini. Empat tahun kemudian, pada 14 Julai 2000, kami dianugerahkan seorang lagi putera bongsu yang dinamakan Arif Fikri. Anakda Arif dilahirkan di Hospital UKM. Maka, membesarlah anak-anak ini di Bandar Baru Bangi. Anas bersekolah di SK Jalan Tiga dan SMK Jalan Tiga sehingga Tingkatan Tiga. Kemudian meneruskan pelajaran di Tingkatan Empat dan Lima di SM Sultan Abdul Halim, Jitra (Jenan). Selepas tamat SPM, Anas melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Vanderbilt University, Nashville, Tennessee, USA. Sekembalinya dari USA, Anas bekerja di Syarikat Texas Instrument selama 6 bulan sebelum berpindah kerja ke Shell, Miri sehingga kini.
Hanan pula memulakan persekolahan di SK Jalan Tiga. Kemudian menyambung pelajaran di SM Sains Kuala Selangor. Selepas SPM, Hanan dianugerahkan biasiswa Petronas untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Geosains di Monash University, Melbourne, Australia. Kini, Hanan bekerja sebagai Geosaintis di Petronas Carigali, KLCC. Ammar pula belajar di SK dan SMK Jalan Tiga sehingga tingkatan tiga. Kemudian, menyambungkan pelajaran ke MRSM, Jasin, Melaka. Selepas SPM, Ammar ditawarkan membuat Program IB di Kolej Mara Banting. Kini Ammar sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Cork, Ireland. Anak yang ke empat Aliya pula bersekolah di SK dan SMK Jalan Empat sehingga tingkatan 3. Kini, Aliya sedang belajar di MRSM Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan akan mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Anak yang bongsu, yakni Arif bersekolah di SK Jalan Tiga dalam darjah lima.
Bahtera kami diserikan dengan kedatangan menantu pada bulan Jun 2009. Kami menerima kedatangan menantu Azreena binti Ahmad Shukri dengan penuh kesyukuran. Hasil perkahwinan ini, tanggal 10 Disember 2011, kami dianugerahkan cucu lelaki yang dinamakan Adam Al-Fateh. Maka, lengkaplah perjalanan bahtera kami selama 25 tahun dengan penuh kasih sayang dan rahmah.
Ya Allah, Ya Rahim, kurniakan keimanan dan kesabaran kepada kami dalam melayari bahtera ini. Kurniakanlah ketakwaan dan kesyukuran kepada keluarga kami dalam menerima nikmatmu. Kurniakanlah keredhaan dan keinsafan kepada kami dalam beribadat kepadaMu. Kurniakanlah ketabahan dan kecekalan kepada kami supaya menjadi hamba yang berjaya di dunia dan akhirat.
Amin.
Comments
Post a Comment